Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohd. Sahrizal Haji Said
JERUDONG, Khamis, 23 April. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri bersabda, bagi Negara Brunei Darussalam (NBD), keselamatan makanan merupakan keutamaan negara dan juga tanggungjawab serantau bersama.
Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, sebagai sebuah negara yang peka terhadap kerentanan akibat gangguan rantaian bekalan global dan cabaran yang sentiasa berubah, negara menitikberatkan kepentingan memperkukuh kerjasama serantau di bawah rangka kerja Pertubuhan Makanan dan Pertanian.
“Sejajar dengan wawasan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk meningkatkan daya tahan negara melalui peningkatan tahap sara diri, kita komited untuk memperkukuh sistem makanan melalui inovasi dalam sains dan teknologi makanan, memajukan amalan pertanian mampan, serta membangunkan rantaian nilai hiliran.
“Pada masa yang sama, kita juga perlu memastikan sokongan teknikal dan persekitaran yang kondusif tersedia bagi mengurangkan kerentanan, meningkatkan kecekapan dan membuka akses pasaran yang lebih luas kepada para petani, nelayan dan pengeluar," sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota pada Majlis Perasmian Sesi Ke-38 Persidangan Serantau Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) bagi Asia dan Pasifik (APRC) yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.
Duli Yang Teramat Mulia bersabda lagi, kita juga sentiasa menyedari akan tanggungjawab sebagai penjaga sumber semula jadi, termasuk hutan, sebagai sebahagian daripada pendekatan pembangunan yang lebih menyeluruh, di mana kita terus meneroka pendekatan berasaskan alam semula jadi dalam menyokong komitmen kelestarian jangka panjang.
Terdahulu DYTM bersabda melahirkan rasa syukur berpeluang berhimpun sempena Sesi Ke-38 FAO dan APRC. DYTM turut mengalu-alukan kehadiran para Menteri, ketua-ketua delegasi serta para peserta ke NBD yang mencerminkan tujuan bersama dan tanggungjawab kolektif untuk menjamin masa depan keselamatan makanan bagi rakyat dan rantau kita.
“Kita berhimpun pada waktu yang amat penting. Sistem makanan di rantau kita sedang berdepan tekanan yang semakin meningkat. Perubahan iklim kini telah menjejaskan cara kita menanam dan penghasilan makanan. Ekosistem semula jadi semakin terjejas dan rantaian bekalan kekal terdedah kepada gangguan," sabda DYTM.
Sabda DYTM, tekanan-tekanan ini paling dirasai oleh para petani, nelayan dan komuniti yang mata pencarian mereka bergantung kepada keputusan yang kita lakukan. Kita sabda DYTM, tidak boleh mengabaikan konflik geopolitik yang berterusan di Timur Tengah, yang terus mengganggu perdagangan global dan pasaran tenaga. Ketegangan ini, bersama perkembangan global yang lain sabda DYTM, menambah tekanan kepada sistem makanan di seluruh Asia dan Pasifik.
DYTM bersabda lagi, fenomena ini mengingatkan kita tentang keperluan mendesak untuk meningkatkan daya tahan serta memperkukuh kerjasama, bagi melindungi keselamatan makanan rakyat kita. Dalam konteks ini sabda DYTM, keselamatan makanan mesti kekal sebagai teras utama usaha kolektif kita.
“Pada masa ini, keselamatan makanan bukan lagi sekadar aspek bekalan. Ia melibatkan akses. Ia berkaitan dengan pemakanan dan ia berkaitan dengan usaha membina daya tahan bersama, agar sistem kita cukup kukuh bukan sahaja untuk masa kini tetapi juga untuk generasi akan datang," sabda DYTM.
DYTM bersabda, perkara ini memerlukan kita memperkasa para pengeluar, menyokong wanita dan belia serta meningkatkan pelaburan dalam inovasi merangkumi sektor pertanian, perikanan dan perhutanan. Yang lebih penting, ia memerlukan kita untuk bekerjasama.
“Tiada satu pun negara di rantau ini mampu menangani cabaran ini secara bersendirian. Aspirasi bersama kita adalah jelas; untuk membina sistem makanan yang berdaya tahan, inklusif dan mampan demi generasi akan datang," sabda DYTM.
DYTM bersabda, cabaran yang dihadapi adalah besar, namun ia boleh diatasi serta kemajuan memerlukan pembangunan ekonomi dan pengurusan sumber yang bertanggungjawab bergerak seiring, bukan saling bersaing. Sabda DYTM lagi, kesediaan untuk bertindak dan komitmen untuk bertindak bersama akan menentukan masa depan rakyat kita.
Melalui kerjasama yang lebih erat, perkongsian pengetahuan dan pembangunan kapasiti, DYTM yakin rantau kita mampu membina masa depan makanan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan, untuk rantau ini dan juga dunia.
DYTM berharap agar persidangan ini menghasilkan keputusan yang bermakna, praktikal dan berkekalan. Para petani, komuniti dan generasi yang akan datang berhak mendapat yang terbaik.
Sebelum mengakhiri sabda, DYTM bersabda menzahirkan ucapan selamat bermesyuarat kepada semua perwakilan dan melahirkan harapan agar semua dapat memperkukuh hubungan kerjasama dan membawa kita lebih hampir ke arah masa depan yang lebih terjamin dan mampan bagi Asia dan Pasifik.